DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan ketika Majlis Sambutan Deepavali Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan menyaksikan perlawanan Liga Super di antara Selangor FC dan Perak FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 25 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SEALNGORKINI
AGENSISELANGOR

FAS sumbang wang tunai kepada komuniti India kurang mampu

PETALING JAYA, 25 NOV: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menghulurkan sumbangan wang tunai kepada dua badan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kebajikan komuniti India sempena sambutan Deepavali, hari ini.

Setiausaha Agungnya Izrin Nabil Ismail berkata kedua-dua NGO itu, Agasthian Shelters dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Seri Perantau Selangor masing-masing menerima bantuan wang tunai sejumlah RM1,000.

Selain itu, Izrin Nabil berkata pihaknya turut membawa seramai 22 kanak-kanak komuniti berkenaan menonton perlawanan Liga Super di antara Selangor FC dan Perak FC secara percuma di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

“Bantuan wang tunai ini bagi meringankan beban yang menyasar golongan berpendapatan rendah (B40) dari dua NGO dipilih FAS pada sambutan Deepavali tahun ini.

“Kami membawa kanak-kanak dari NGO ini untuk merasai pengalaman dan keseronokan menonton perlawanan bola di stadium, peluang yang mereka jarang dapati,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Sambutan Deepavali FAS di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada wakil daripada dua NGO tersebut.

Sementara itu, Selangor FC mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super selepas menewaskan Perak FC 4-0 pada aksi di Stadium MBPJ, petang tadi.

Kesemua gol Gergasi Merah dijaringkan menerusi Sharul Nazeem, Mukhari Ajmal Yohandry Orozco dan Ayron del Valle.

Selangor akan membuat perhitungan menentang Kedah dalam perebutan kedudukan kedua Liga Super di Stadium Darul Aman pada Sabtu depan.


Pengarang :