Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Pangsapuri Seri Kayan, Subang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Seri Serdang, Pandamaran antara empat lokasi jualan murah esok

SHAH ALAM, 25 NOV: Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke empat lagi tempat esok, bermula jam 10 pagi.

PKPS menerusi Facebook memaklumkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) diadakan di Restoran Ben Hussin (Seri Serdang) dan 1-17, Lorong Setaka, Taman Palm Grove (Pandamaran).

Program turut diadakan di padang permainan Jalan Nirwana 10, Taman Nirwana (Pandan Indah) dan 25-G, Jalan Seksyen 2/13, Taman Kajang Utama (Sungai Ramal).

Program JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :