Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Serdang di Jalan LEP, Subang Jaya pada 23 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah barangan asas temui orang ramai di empat lokasi hari ini

SHAH ALAM, 26 NOV: Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan di empat lokasi hari ini, bermula jam 10 pagi.

PKPS menerusi Facebook memaklumkan program jualan murah itu diadakan di Restoran Ben Hussin (Seri Serdang) dan 1-17, Lorong Setaka, Taman Palm Grove (Pandamaran).

Dua lagi lokasi ialah di padang permainan Jalan Nirwana 10, Taman Nirwana (Pandan Indah) dan 25-G, Jalan Seksyen 2/13, Taman Kajang Utama (Sungai Ramal).

Program JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :