Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Kongres Nasional KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 25 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Perkasa bahasa Melayu, tingkatkan mutu bahasa Inggeris mulai tahun depan

PUTRAJAYA, 26 NOV: Perdana menteri mahu mutu penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar ditingkatkan mulai tahun depan manakala kedudukan bahasa Melayu terus diperkasa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahasa Melayu akan kekal menjadi bahasa utama negara dan mesti dikuasai tanpa tolak ansur oleh setiap individu.

“Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ia mesti dikuasai. Jangan ada anggapan kita akan remehkan bahasa Melayu. Kita harus berdepan kenyataan.

“Jika semua kuasai bahasa Melayu dengan baik, mulai tahun depan kita akan tingkatkan mutu bahasa Inggeris di negara kita. Tidak perlu tidak, kemajuan juga harus seiring,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, malam tadi.

Bulan lalu, Anwar mengarahkan semua pihak termasuk agensi swasta menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam setiap urusan surat menyurat rasmi sebagai usaha memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan sistem meritokrasi adalah penting namun pelaksanaannya tidak perlu keterlaluan dan tidak boleh dipengaruhi sentimen.

“Ada yang bangkitkan isu meritokrasi. Sekolah yang paling daif dan sekolah terbaik di bandar, adakah mereka adil untuk bersaing? Meritokrasi itu penting tetapi jangan keterlaluan.

“Jangan bawa isu sentimen. Saya harap kita boleh berbincang, tetapi jangan terbawa-bawa pandangan yang hanya memihak satu pihak. Boleh bincang tapi jangan paksa,” katanya.


Pengarang :