Pengunjung yang datang bagi membeli barangan basah ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Pandamaran di Taman Palm Grove pada 26 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah manfaat lebih 200 keluarga, jimat belanja sempena Krismas

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

KLANG, 26 NOV: Lebih 250 keluarga menerima manfaat menerusi program jualan murah barangan asas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran yang berlangsung di Taman Palm Grove hari ini.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Palm Grove Michele Sum berkata segelintir pengunjung berbelanja untuk membuat persiapan awal sempena Krismas.

Menurut beliau antara barangan yang paling banyak dibeli untuk digunakan semasa perayaan itu adalah minyak masak dan beras.

“Kami berbesar hati dapat menganjurkan jualan murah ini untuk penduduk pelbagai kaum. Ada yang berbelanja bagi persiapan Krismas, tidak kurang juga yang berbelanja untuk keperluan harian.

Pengerusi KRT Taman Palm Grove, Michele Sum ketika ditemui di Jualan Ehsan Rahmah DUN Pandamaran di Taman Palm Grove pada 26 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Program harini kita lihat lebih 250 keluarga datang berbelanja,” katanya ketika ditemui pada program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu.

Seorang pengunjung, K Vijaya,43, berkata dia berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER) kerana dapat berjimat banyak biarpun beberapa barang ada had pembelian.

“Seronok berbelanja di sini dengan tawaran harga yang jauh lebih murah berbanding pasaran luar. Saya memanfaatkan jualan murah ini apabila ia diadakan berdekatan rumah dan waktu cuti,” katanya.

Bagi seorang pesara kerajaan, Mat Nuri Abdul Rahman,74, produk ditawarkan PKPS amat berkualiti tapi harga mampu milik dan harap program jualan murah diteruskan pada masa depan.

“Saya akan berbelanja untuk keperluan harian. Pada masa sama, jika ada beras lebih di rumah, saya akan sedekahkan kepada jiran yang memerlukan.

K Vijaya,43 ketika ditemui diJualan Ehsan Rahmah DUN Pandamaran di Taman Palm Grove pada 26 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Dengan peningkatan harga barang naik mendadak ketika ini, jualan murah banyak membantu golongan memerlukan. Saya berharap ia dapat diteruskan,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :