Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) memasuki sekolah pada hari pertama pembukaan sekolah 2023/2024 pada 20 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Penguasaan bahasa Melayu diperluas, bahasa Inggeris dipertingkat

SHAH ALAM, 26 NOV: Presiden KEADILAN mahu penguasaan bahasa Melayu terus diperluaskan dalam sistem pendidikan negara, manakala bahasa Inggeris dipertingkatkan mulai tahun depan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penguasaan dua bahasa itu penting bagi menjadikan Malaysia pilihan dalam kalangan pelabur daripada negara maju.

“Saya tidak mahu tolak ansur dengan pelaksanaan bahasa Melayu. Mana mungkin sudah sudah merdeka sekian lama masih tergagap bahasa Melayu.

“Kalau ini diterima baik, penguasaan bahasa Melayu dalam program pengajian dan kokurikulum ditingkatkan. Jadi mulai tahun depan, kita harus tingkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara kita.

“Ini baru “win-win”. Kalau saya mula dengan bahasa Inggeris tinggalkan bahasa Melayu, tak mungkin,” katanya ketika sesi penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Jelas perdana menteri dalam memastikan sistem pembelajaran adil dan saksama, Anwar memberi jaminan bahawa kepentingan bahasa lain juga akan diberi perhatian.

“Begitu juga kemudahan-kemudahan Tamil, Mandarin dan bahasa suku kaum kita beri kemudahan, belajar. Kita bagi. Tiada rugi pun,” jelasnya.


Pengarang :