AMPANG JAYA, 27 NOV: Pentadbiran negeri menggesa semua pihak menjalankan usaha berterusan bagi memartabat institusi keluarga sekali gus menjamin kesejahteraan.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menjangkakan institusi keluarga berdepan tekanan pada masa depan berikutan beberapa faktor yang wujud dalam persekitaran ketika ini.
Faktor itu, jelasnya, kewujudan pelbagai bentuk keluarga baharu seperti ‘keluarga komuter’ iaitu salah seorang pasangan tinggal di satu tempat lain berikutan komitmen kerja.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/P_BulanKeluargaKebangsaan-4-500x333.jpg.webp)
“(Ia termasuk kewujudan) ‘keluarga sandwich’ iaitu pasangan perlu menanggung anak dan menjaga ibu bapa yang tinggal bersama. Situasi dijangka lebih serius terutama bagi pasangan muda dwikerjaya dengan kurang sumber pendapatan.
“Selain itu, faktor penggunaan telefon pintar dan media sosial yang meningkatkan jurang interaksi antara ahli keluarga serta kurang meluangkan masa berkualiti rentetan kesibukan kerja serta pendidikan.
“Institusi keluarga juga terdedah dengan pengabaian ahli keluarga akibat pengaruh dadah atau kemiskinan yang membawa kepada penderaan kanak-kanak dan warga emas,” katanya di Zoo Negara di sini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/P_BulanKeluargaKebangsaan-9-1-500x333.jpg.webp)
Berucap merasmikan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat Selangor semalam, wakil rakyat Taman Templer berkata institusi keluarga yang kukuh menjadi asas utama dalam membina sebuah negara harmoni.
“Ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan agenda Malaysia MADANI dapat direalisasikan menerusi pemerkasaan institusi keluarga berlandaskan sakinah, mawaddah dan rahmah.
“Atas dasar itu, Kerajaan Selangor memperuntuk RM4 juta bagi agenda pembangunan wanita dan keluarga tahun depan kerana kita mahu memastikan setiap unit keluarga mampu menjadi nukleus ampuh kepada kemajuan negeri,” katanya lagi.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/P_BulanKeluargaKebangsaan-10-500x333.jpg.webp)