Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) dan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) ketika Kongres Nasional KEADILAN 2023 di PICC Putrajaya pada 26 November 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

Anwar satukan 18 parti, pimpin hala tuju negara

SHAH ALAM, 26 NOV: Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin pertama negara ini yang berjaya menyatukan 18 parti menjadi satu gabungan membentuk Kerajaan Perpaduan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) malah berkata gabungan itu juga berjaya mendapat majoriti di Parlimen dengan diwakili semua pimpinan termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Kita patut berbangga sebagai ahli KEADILAN kerana dalam sejarah negara, PM Anwar, presiden parti adalah pimpinan pertama berjaya kumpul 18 parti secara keseluruhan sebagai satu gabungan.

“Selepas 2008, inilah kali pertama kita dapat total majoriti di Parlimen, kita mewakili semua, ada perwakilan Sabah dan Sarawak,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional KEADILAN 2023 di PICC Putrajaya hari ini.

Dato’ Menteri Besar menambah KEADILAN merupakan parti berada di landasan yang betul dalam memimpin negara.

“Parti KEADILAN apapun cara kita, apapun perlawanan kita, kita gunakan Parlimen, kita turun ke jalan, himpunan kita adalah himpunan aman kerana aman adalah prasyarat untuk menjamin kepada keimanan, bukan buat huru-hara, bukan dengan pengkhianatan, bukan dengan tebuk atap dan rosak politik negara.

“Saya yakin dan percaya bahawa pada ketika ini kita bukan berdiri kosong, kita ada pengalaman sedikit, 22 bulan dan pengalaman yang cukup mengajar kita di saat rakan-rakan pimpinan bertungkus lumus membawa dan membetulkan hala tuju negara,” katanya lagi.

Ketidaktentuan berikutan keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), julung kali menyaksikan tiada parti atau gabungan politik yang mendapat jumlah kerusi majoriti bagi membentuk kerajaan.

Anwar yang memimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mendapat sokongan 148 wakil rakyat termasuk dari Barisan Nasional (BN) yang disertai parti komponen iaitu Umno, MCA, MIC, PBRS, IPF, Kimma, MMSP, MUIP, PCM, PPM, MAP dan Ikatan.

Parti lain turut serta ialah Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).


Pengarang :