Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning Preakas Sampunathan (tengah, baju putih) bergambar bersama peserta program gotong-royong perdana siap siaga banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 25 November 2023. Foto Ihsan Majlis Bandaraya Shah Alam
PBTSELANGOR

1,500 orang sertai gotong-royong siap siaga banjir di Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 27 NOV: Seramai 1,500 orang menyertai program gotong-royong perdana siap siaga banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini 25 November lalu.

Program berkenaan diadakan serentak di empat zon di kawasan sekitar Seksyen 25 membabitkan Zon A (Jalan 25/1 – Jalan 25/35), Zon B (Jalan 25/36 – 25/67, Jalan 25/116 – 25/118), Zon C (Jalan 25/68 – Jalan 25/97) dan Zon D (Jalan 25/95 – Jalan 25/150).

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam kenyataan berkata program inisiatif pihak berkuasa tempatan itu sebagai persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir susulan peralihan Monsun Timur Laut (MTL).

Peserta membersihkan kawasan sekitar Taman Sri Muda dalam program gotong-royong perdana siap siaga banjir di Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam pada 25 November 2023. Foto Ihsan Majlis Bandaraya Shah Alam

“Taman Sri Muda, Seksyen 25 dipilih berikutan bencana banjir pada 2021 dan ia lokaliti banjir yang terkesan akibat bencana tersebut.

“MBSA menyasarkan penglibatan komuniti setempat dan menerapkan rasa tanggungjawab di kalangan masyarakat bagi memastikan tahap kebersihan di kawasan kediaman, perniagaan serta tempat awam selamat dan selesa didiami,” katanya.

Program itu disertai sukarelawan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), persatuan Tzu Chi Foundation, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Management and Science University (MSU) dan Kolej VIS Mechatronic.

Selain itu turut serta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia serta Pejabat Tanah dan Daerah Klang.

Program sehari itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning Preakas Sampunathan.


Pengarang :