KOTA BHARU, 27 NOV: Bayi perempuan berusia tujuh bulan maut dalam kemalangan kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pagi tadi.
Kejadian berlaku selepas kenderaan dinaiki bayi itu bersama ibu bapanya melanggar tiang lampu sebelum terbakar.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohd Fadzil Musa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.04 pagi dan anggota BBP Kuala Krai serta BBP Sungai Durian bergegas ke lokasi.
“Kemalangan itu melibatkan kereta Honda Jazz yang terbabas dan melanggar tiang lampu sebelum terbakar.
“Terdapat tiga mangsa iaitu lelaki dewasa melecur seluruh tubuh, wanita cedera dan bayi itu ditemui rentung dalam kereta akibat terperangkap,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya mangsa yang cedera diserahkan kepada hospital manakala bayi itu kepada polis.