Penduduk Palestin berkumpul di sekitar bangunan kediaman yang musnah dalam serangan Israel di Bandar Zahra, di tengah-tengah konflik antara Israel dan kumpulan Hamas, di selatan bandar Gaza pada 19 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Remaja Palestin dedah penderitaan menjadi tahanan penjara Israel

ISTANBUL, 27 NOV: Osama Nayef Osama Marmash, seorang daripada 39 rakyat Palestin yang baharu dibebaskan dari penjara Israel susulan penguatkuasaan gencatan sementara mendedahkan mengenai penderitaan yang dialami sepanjang menjadi tahanan rejim itu.

Remaja lelaki berusia 16 tahun dari Nablus, utara Tebing Barat itu berkata dia ditahan sejak lima bulan lalu.

“Tawanan Palestin di penjara Israel mengetahui tentang perjanjian itu pada Jumaat.

“Saya bangun pagi, cuci muka dan baca al-Quran sebelum tentera Israel mula merayau-rayau di sel tahanan untuk memilih mereka yang akan dibebaskan dan nama saya tersenarai.

“Sejak lapan pagi, kami menunggu dalam kesejukan sehingga Palang Merah datang dan membawa kami keluar dari penjara.

“Setiap minggu, mereka (tentera Israel) datang memukul kami dan merampas semua pakaian, cadar dan tilam,” katanya kepada Agensi Anadolu.

Marmash berkata setiap tawanan hanya diberi cadar yang sangat nipis, sambil mengimbau bagaimana tentera Israel mencurahkan air ke atas tahanan ketika cuaca sangat sejuk.

Tahanan juga diberikan makanan yang sangat sedikit.

“Mereka hanya memberi kami dua beg roti sehari dan kami terpaksa berkongsi lapan orang,” katanya.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :