5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 dianggarkan layak menerima subdisi bersasar minyak masak paket pada 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

5.8 juta isi rumah B40, M40 dianggar layak terima manfaat minyak paket bersubdisi

SHAH ALAM, 27 NOV: Seramai 5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 dianggarkan layak menerima subdisi bersasar minyak masak paket tahun depan.

Timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berkata 91,860 peniaga mikro juga dikenalpasti layak menerima manfaat subsidi berkenaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh. Foto BERNAMA

“Apabila kita kira jumlah peniaga mikro (dan) jumlah isi rumah yang layak B40 dan sebahagian M40 dianggarkan lebih kurang 5.8 juta dan peniaga mikro dianggarkan lebih 91,860.

“(Sebelum ini) apabila dibuat secara subsidi pukal kita tidak menyasarkan kepada peniaga mikro, tetapi mengarah ke hadapan kita menyasarkan mereka juga kerana peniaga mikro juga memerlukan subsidi minyak masak,” kata Fuziah Salleh .

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang ingin tahu jumlah minyak masak paket bersubsidi yang dikeluarkan kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Fuziah menjelaskan dengan pelaksanaan sistem pukal yang dilaksanakan ketika ini sukar untuk mengawal pembelian minyak masak bersubsidi mengakibatkan ia turut dibeli warga asing.

“Sebab itu penyasaran subsidi amat penting. Peniaga mikro seperti peniaga di gerai, ‘mobile food car’, warung serta peniaga goreng menggunakan lebih kurang 400 kg minyak masak sebulan manakala isi rumah M40 dan B40 pula sekitar 4.8 kg sebulan.

“(Jadi) melihat kepada keperluan itu 60,000 tan metrik (minyak masak bersubsidi) itu insya-Allah mencukupi,” katanya.

Beliau berkata sistem skim penstabilan harga minyak masak (eCOSS) yang memantau rantaian bekalan minyak masak paket akan ditambahbaik bagi memastikan ia menyeluruh sehingga ke peringkat pengguna.

“Setakat ini ia memantau rantaian bekalan minyak masak bersubsidi daripada kilang penapis, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit. Sistem ini berhenti di peringkat peruncit (setakat ini).

“Ia akan ditambah baik untuk melibatkan hingga ke pringkat pengguna,” katanya.


Pengarang :