Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini melancarkan Kempen Kongsi Rezeki Dengan Zakat 2023 di Ibu Pejabat LZS, Seksyen 13 pada 27 November 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS kutip zakat keseluruhan lebih RM735 juta setakat Oktober

SHAH ALAM, 27 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengutip zakat keseluruhan lebih RM735 juta membabitkan 321,000 pembayar setakat Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata semakan pihaknya mendapati hampir satu juta individu dikenal pasti berpotensi mengeluarkan zakat tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini ketika sidang media selepas pelancaran Kempen Kongsi Rezeki Dengan Zakat 2023 di Ibu Pejabat LZS, Seksyen 13 pada 27 November 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Justeru, kami sasarkan sekurang-kurangnya peningkatan 10 peratus pembayar zakat baharu, berbanding 400,000 pembayar sedia ada tahun lalu.

“Kami amat mengalu-alukan masyarakat yang berkemampuan di negeri ini untuk segera menunaikan tanggungjawab berzakat sebelum berakhirnya 2023,” katanya.

Ditemui selepas melancarkan Kempen Kongsi Rezeki Dengan Zakat di ibu pejabat agensi itu di sini, beliau  berharap umat Islam memanfaatkan peluang menunaikan zakat bagi membantu asnaf.

“Daripada rezeki yang dikecapi seperti pendapatan, perniagaan dan pemilikan harta yang termaktub pada hukum zakat, pastinya 2.5 peratus adalah hak mereka yang memerlukan.

“Maka, tiada alasan untuk tidak menunaikan zakat bagi mereka yang berkemampuan kerana selain hadir secara fizikal ke cawangan, kami turut menyediakan pelbagai kaedah secara dalam talian,” katanya.

Dalam majlis sama, Mohd Sabirin turut menerima zakat perniagaan daripada tiga syarikat dengan jumlah keseluruhan RM252,971.

Daripada jumlah itu, PWN Exvellence Sdn Bhd mengeluarkan zakat RM136,572, diikuti Agrobank Berhad (RM106,323) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (RM10,075).

Sementara itu, LZS turut menyampaikan bantuan zakat RM17,660,556 antaranya bantuan pembinaan rumah baharu, baik pulih rumah dan bantuan perubatan bagi menjalani pembedahan.


Pengarang :