Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melihat buku Hutan Warisan Diraja Selangor selepas merasmikan Perisytiharaan Hutan Warisan Diraja Selangor di Hotel Double Tree Hilton, Shah Alam pada 28 November 2023 Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri jalin kerjasama cipta perisian analisis data, kesan aktiviti di hutan simpan

SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) membangunkan perisian bagi memantau aktiviti dalam hutan simpan kekal (HSK).

Dato’ Menteri Besar berkata usaha dengan kerjasama bahagian penyelidikan dan pembangunan Telekom Malaysia (TM) itu boleh mengesan sebarang aktiviti termasuk kemasukan orang awam ke HSK, pergerakan haiwan, kebakaran dan tanah runtuh.

“Jadi dashboard (sistem pelaporan) itu akan diletakkan di JPNS dan ia adalah sebahagian daripada proses analisis data raya yang diaturkan oleh jabatan berkenaan.

“Manakala kita di peringkat negeri ada dashboard sendiri atau pusat kawalan negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui selepas majlis pengisytiharan Hutan Warisan Diraja Selangor di sini, hari ini.

Pemasyhuran 26 HSK sebagai Hutan Warisan Diraja Selangor dengan keluasan 108,000 hektar disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sembah ucapan ketika Majlis Perisytiharaan Hutan Warisan Diraja Selangor di Hotel Double Tree Hilton, Shah Alam pada 28 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu, Amirudin dalam sembah ucapan berharap dana kerajaan persekutuan dan antarabangsa terus disalurkan kepada negeri ini bagi memangkin usaha mendepani cabaran luar jangka seperti kesan perubahan iklim serta bencana alam.

“Setakat ini Selangor menerima peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,” katanya.

Dalam majlis sama, JPNS dan TM turut memeterai surat kerjasama bagi penyelesaian isu kritikal dan pemuliharaan alam sekitar yang menumpukan kepada kajian, analisis dan usaha mengatasi cabaran berkait hutan.


Pengarang :