Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron memotong riben sebagai simbolik perasmian Karnival Sukan OKU peringkat Negeri Selangor di Stadium JKR Seksyen 17 Shah Alam pada 28 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tiga kawasan berisiko banjir di Batu Tiga diberi perhatian khusus

SHAH ALAM, 28 NOV: Tiga kawasan di sekitar Batu Tiga yang dikenal pasti berisiko banjir diberi perhatian khusus bagi mengelak kejadian itu berulang, kata wakil rakyatnya.

Menurut Danial Al-Rashid Haron, tiga kawasan yang dalam pemantauan ialah Padang Jawa, Kampung Kebun Bunga dan Seksyen 24.

Jelasnya, Batu Tiga mempunyai sembilan kawasan berisiko dinaiki air tetapi Padang Jawa, Kampung Kebun Bunga dan Seksyen 24 paling kritikal.

“Contohnya di Padang Jawa, kolam tadahan dan pam air telah siap dibina dan maklum balas mendapati infrastruktur ini membantu ketika hujan lebat.

“Bagaimanapun, untuk Kampung Kebun Bunga dan Seksyen 24 projek pelaksanaan sedang dalam proses dan saya memantau bagi memastikan pelan dilaksana mengikut perancangan,” katanya ditemui selepas merasmikan Karnival Sukan OKU peringkat Selangor 2023 di Stadium JKR di sini hari ini.

Perarakan masuk peserta Karnival Sukan OKU peringkat negeri Selangor di Stadium JKR Seksyen 17 Shah Alam pada 28 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Tambah Danial Al-Rashid, pihaknya juga menubuhkan pasukan sukarelawan dianggotai lebih 100 individu yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku sebarang bencana.

Negara kini memasuki musim Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula November hingga Mac tahun depan.

Antara persediaan dilakukan Kerajaan Negeri adalah mengadakan Simulasi Latihan Pengendalian Bot dan Keyakinan Dalam Air.

Malah, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut memaklumkan Kerajaan Selangor membuat persediaan awal di semua peringkat bagi mengurangkan impak kehilangan nyawa dan harta akibat bencana itu.


Pengarang :