Wakil Presiden Indonesia Ma’ruf Amin hadir pada majlis makan malam gala Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023 di Kuching pada 28 November 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Negara Islam perlu bersatu dalam membangun industri halal

KUCHING, 28 NOV: Negara Islam perlu bersatu dalam misi dan visi yang sama ke arah pembangunan industri halal global, kata Wakil Presiden Indonesia Ma’ruf Amin.

Beliau berkata fokus harus diberikan untuk meningkatkan pelaburan bersama terutamanya dalam membangun dan membina ekosistem hab halal yang bersepadu.

“Saya harap rantau ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) boleh menjadi perintis kepada kerjasama ini.

“Selain itu, adalah penting untuk kita menyeragamkan standard halal global yang boleh mengurangkan halangan perdagangan sekali gus meningkatkan perdagangan produk halal antara negara,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam gala Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023 di sini, malam ini.

Sementara itu, Ma’ruf turut menyambut baik pemeteraian perjanjian kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam pengiktirafan pensijilan halal untuk produk halal pada Jun lalu.

“Sudah tiba masanya juga untuk kita memaksimumkan peranan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pertubuhan Islam antarabangsa lain bagi mengukuhkan kerjasama demi kepentingan ekonomi Islam pada masa hadapan,” katanya.

Forum bertemakan ‘Inovasi dan Transformasi dalam Ekonomi Islam’ itu diadakan dari 28 hingga 30 November dan dijangka menarik kira-kira 1,000 hadirin daripada 37 negara.

GMBF 2023 dihoskan oleh kerajaan Sarawak dan anjuran bersama KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Dewan Perniagaan, Industri dan Pertanian Islam (ICCIA) serta Global One.

– BERNAMA


Pengarang :