Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 14 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lafaz Rukun Negara setiap sesi pembukaan penggal Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Lafaz Rukun Negara akan dilaksanakan pada setiap sesi pembukaan penggal Dewan Rakyat, iaitu pada hari kedua mesyuarat pertama setiap penggal Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata keputusan itu susulan permohonan daripada Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang yang mencadangkan supaya Rukun Negara dilafazkan secara penuh bermula dengan mukadimah dan diikuti lima prinsip Rukun Negara di Dewan Rakyat.

Johari berkata beliau kemudian membawa cadangan itu kepada Jawatankuasa Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia serta Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat untuk dipertimbangkan.

“Kedua-dua jawatankuasa ini bersetuju untuk melaksanakan lafaz Rukun Negara ini di Dewan Rakyat,” katanya dalam pemasyhuran sebaik sidang Dewan Rakyat bermula hari ini.

Mengenai pelaksanaan pemeriksaan kesihatan, Johari berkata lapan Ahli Parlimen masih belum menjalani pemeriksaan.

Katanya setakat ini, 213 Ahli Parlimen dan enam senator ahli pentadbiran telah melakukan pemeriksaan kesihatan berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :