Pengujung tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas ketika Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Orang Ramai Batu 16, Dusun Tua, Hulu Langat pada 23 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ayam, daging RM10 dijual di tiga lokasi esok

SHAH ALAM, 29 NOV: Orang ramai boleh mendapatkan barangan asas pada harga murah di tiga lokasi program Jualan Ehsan Rahmah (JER) mulai 10 pagi hingga 1 tengah hari esok.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan jualan diadakan di Balairaya Alam Perdana (Jeram), gelanggang badminton Taman Muda (Teratai) serta Masjid Al-Falah Kampung Budiman (Meru).

Hari ini, jualan sama diadakan di Tapak Pasar Malam Sungai Rambai (DUN Banting), Flat Sri Nilam (DUN Bukit Antarabangsa) dan pekarangan Surau Desa Kasih, Parit 8 1/2 Barat (DUN Sabak).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Orang Ramai Batu 16, Dusun Tua, Hulu Langat pada 23 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik melaksanakan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :