AGENDAJENAYAH

Pembantu farmasi didakwa sebabkan kematian adik perempuan OKU

SUNGAI PETANI, 29 NOV: Seorang pembantu farmasi di sebuah hospital swasta dihadapkan ke Mahkamah Majisret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian adik perempuannya yang juga orang kurang upaya.

Nur Syuhaidah Mohd Sani, 36, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, Nur Syuhaidah didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Nur Fatin Mohd Sani, 29, di sebuah rumah di Residensi Prima Puteri Jaya, di sini antara 5.30 petang 6 Nov hingga 11.30 pagi 20 Nov lepas.

Pertuduhan mengikut Sekysen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan jika tidak dihukum gantung, boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirul Halimi Md Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 31 Jan depan untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA


Pengarang :