Deretan mayat rakyat Palestin di sebuah hospital di utara Semenanjung Gaza susulan serangan Israel ke kem pelarian Jabalia, pada 31 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

60 mayat ditemukan di jalan raya, bawah runtuhan, jumlah kematian lebih 15,000 orang

GAZA, 29 NOV: Dalam tempoh 24 jam lepas, pasukan penyelamat menemukan 160 mayat di bawah runtuhan dan di jalan raya di Semenanjung Gaza, menjadikan angka kematian meningkat kepada lebih 15,000 orang, termasuk lebih 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita.

Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), anggota penyelamat setakat ini bergantung kepada kaedah manual untuk mengeluarkan mayat, memandangkan kekurangan jentera dan peralatan.

Data tidak rasmi menunjukkan kira-kira 6,500 orang masih hilang, termasuk lebih 4,700 kanak-kanak dan wanita.

Sejak gencatan sementara pada Jumaat bermula, pasukan penyelamat dan ambulans serta penduduk berusaha mengeluarkan sebanyak mungkin mayat dengan kemampuan yang mereka ada.

Serangan udara, darat dan laut tentera penceroboh Israel turut menyebabkan 300,000 unit kediaman rosak, termasuk 50,000 unit rumah musnah sepenuhnya.

Tentera Israel meneruskan serangan ke atas rakyat Palestin

Walaupun gencatan sementara berlangsung, tentera penceroboh menghalang penduduk yang mencari perlindungan di selatan Semenanjung Gaza daripada kembali ke bandar dan pekan mereka di utara wilayah itu.

Ini kerana tentera penceroboh yang ditempatkan di Jalan Salah al-Din melepaskan tembakan ke arah penduduk yang cuba memeriksa rumah dan mencari ahli keluarga mereka yang hilang, menyebabkan tiga orang terbunuh dan beberapa lagi cedera.

Dalam perkembangan berkaitan di Tebing Barat, WAFA melaporkan dua penduduk Palestin termasuk seorang kanak-kanak cedera ditembak selepas bertempur dengan tentera Israel yang menyerbu bandar Jenin dan kem pelarian di kawasan itu.

Tentera juga menggunakan bom tangan dan gas pemedih mata, menyebabkan beberapa orang mengalami sesak nafas dan terpaksa menerima rawatan di hospital.

Pasukan tentera Israel disertai sebuah jentolak, menyerbu bandar dari pelbagai arah, memecah masuk beberapa rumah, menempatkan penembak tepat di atas bumbung bangunan tinggi dan melaksanakan perintah berkurung ke atas kem pelarian itu.

Tentera dilaporkan menempatkan pasukannya di hadapan Hospital Jenin dan kawasan sekitarnya, di kem pelarian serta di beberapa kawasan perumahan untuk mencari penduduk Palestin yang dikehendaki, sementara dron terbang rendah di kawasan itu.

Sekurang-kurangnya 44 wartawan Palestin di Penjara Israel

Menurut kumpulan wartawan tempatan, sekurang-kurangnya 44 wartawan Palestin ditahan di penjara Israel dengan 29 daripadanya ditangkap sejak 7 Oktober.

Tentera penceroboh Israel membebaskan 12 daripada wartawan yang ditahan selepas menjalani tempoh hukuman, menurut kenyataan Palestinian Journalists Syndicate (PJS pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.

Agensi itu berkata, seramai 29 wartawan masih ditahan.

Pertubuhan itu pada Sabtu menyiarkan nama 70 wartawan dan petugas media yang terbunuh akibat pengeboman Israel sejak 7 Oktober.

– BERNAMA-WAFA-AGENSI ANADOLU


Pengarang :