Orang ramai mendapatkan penyata akaun di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Cawangan Shah Alam, Seksyen 15 pada 7 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

35 peratus ahli KWSP berumur 54 tahun miliki simpanan bawah RM10,000

SHAH ALAM, 29 NOV: Sebanyak 35 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 54 tahun didapati hanya mempunyai simpanan kurang RM10,000, kata timbalan menteri kewangan.

Steven Sim Chee Keong menjelaskan data juga menunjukkan hanya dua peratus pencarum KWSP memiliki simpanan melebihi RM1 juta, peratusan terendah daripada keseluruhan simpanan.

“Ahli berumur 54 tahun yang mempunyai simpanan bawah RM10,000 mencatatkan peratusan tertinggi dengan 35 peratus atau 94,827 orang ahli dengan jumlah simpanan RM246.1 juta.

“Ahli dengan jumlah simpanan melebihi RM1 juta pula mencatatkan peratus terendah dengan dua peratus atau hanya 4,877 ahli dengan jumlah simpanan sebanyak RM7.9 bilion,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada 15 Mac 2023. Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (HARAPAN-Kuala Selangor) mengenai pecahan jumlah simpanan ahli KWSP berumur 54 tahun pada 1 Januari 2023.

Dalam pada itu, Steven yang juga wakil rakyat Bukit Mertajam berkata kerajaan dijangka mengumumkan perincian Akaun Fleksibel atau Akaun 3 KWSP pada Februari tahun depan.

Menurutnya, pengenalan akaun baharu tersebut turut merangkumi pemerkasaan Akaun 1 bagi menggalakkan lagi penyertaan rakyat untuk menyimpan menjelang hari tua.

“Ia merupakan strategi menyeluruh. Kita juga merancang untuk memperkukuh lagi Akaun 1. KWSP melihat ada keperluan untuk perkasakan bagi mengelakkan simpanan asas tidak mencukupi,” katanya.

Pengumuman Akaun Fleksibel dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu.

Menurut Anwar, Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu boleh diakses ahlinya pada bila-bila masa dan akaun ahli KWSP akan distrukturkan semula bagi memperkasa simpanan persaraan.


Pengarang :