Pengembara dari negara endemik cacar monyet akan menerima amaran kesihatan menerusi MySejahtera selama 21 hari untuk pemantauan kendiri. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sembilan kes jangkitan cacar monyet dilapor termasuk libatkan warga asing

SHAH ALAM, 29 NOV: Kementerian Kesihatan merekodkan sembilan kes jangkitan cacar monyet (mpox) sejak Julai lalu membabitkan seorang warga asing dan lapan warga tempatan.

Timbalan Menteri Kesihatan berkata kes pertama dan kedua direkodkan di Kuala Lumpur, kes ketiga dan keempat pada bulan lalu di Selangor, kelima di Sarawak pada 5 November manakala baki empat kes terbaharu di ibu negara.

Menurut Datuk Lukanisman Awang Sauni kementerian giat melakukan langkah kawalan dan pencegahan agar tidak merebak termasuk pemantauan di pintu masuk antarabangsa negara.

“Bagi kemasukan pelajar asing ke institusi pendidikan tinggi terutama dari negara yang melaporkan kes mpox atau endemik mpox, mereka diminta melakukan pemantauan kendiri selama 21 hari dan perlu dapatkan rawatan sekiranya bergejala,” katanya.

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai langkah pencegahan bagi memastikan jangkitan cacar monyet tidak menular di Dewan Rakyat, hari ini.

Menerusi Garis Panduan Pengurusan Mpox Malaysia 2023, Lukanisman berkata, pesakit dan kontak rapat perlu melalui tempoh pengasingan di kediaman atau lokasi bersesuaian sehingga disahkan bebas daripada jangkitan.

“Bagi langkah pemantuan ketika ini, kita ada 11 klinik sentinel terdiri daripada tujuh fasiiti kerajaan dan empat swasta manakala untuk pengesanan awal jangkitan, kita ada khidmat ujian pengesanan virus melalui 12 makmal termasuk empat fasiliti swasta,” katanya.

Mpox merupakan sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox yang boleh berjangkit melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.

Antara gejala mpox ialah demam berserta ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva (selaput lut sinar yang meliputi mata putih dan bahagian dalam mata) serta kornea mata.


Pengarang :