AGENDAJENAYAH

Tikam isteri, bapa lapan anak dipenjara 14 tahun

TAWAU, 29 NOV: Seorang lelaki yang memiliki lapan anak dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah menyebabkan kematian isterinya di kediaman mereka di Semporna, enam tahun lepas.

Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng bagaimanapun memerintahkan Jakaria Abu Bakar, 56, menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditahan iaitu pada 4 Feb 2019.

Jakaria didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Norminah Bollok, 39, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pinggir Bakau, Semporna pada 4 pagi 22 Jan 2017.

Pada asalnya, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan namun pertuduhan itu dipinda kepada Seksyen 304 (a) kanun sama selepas mahkamah mendapati wujud elemen provokasi akibat pertengkaran suami isteri sehingga berlaku perebutan parang sebelum mangsa ditikam.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain, yang memanggil lapan saksi sepanjang perbicaraan kes itu manakala tertuduh diwakili peguam Andy Tay.

Di mahkamah sama, seorang warga Filipina dihukum penjara seumur hidup dan 12 sebatan selepas didapati bersalah mengedar syabu di Lahad Datu pada 2021.

Nedzmar Palaudin, 51, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tepi Jalan Dahlia, hadapan Kedai Nisah Trading di Lahad Datu pada 7 pagi 16 Dis 2021 mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1957.

— BERNAMA


Pengarang :