Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Pandan Indah di Taman Nirwana, Ampang Jaya pada 26 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jeram, Teratai, Meru lokasi jualan murah barangan asas pagi ini

SHAH ALAM, 30 NOV: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan asas pada harga murah berlangsung di tiga lokasi hari ini, mulai 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan jualan diadakan di Balairaya Alam Perdana (Jeram), gelanggang badminton Taman Muda (Teratai) serta Masjid Al-Falah Kampung Budiman (Meru).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik melaksanakan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :