BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Peluang miliki karya agung dalam pesta buku negeri

OLEH FARIDZWAN ABDUL GHAFAR

SHAH ALAM, 1 DIS: Kerajaan Negeri merancakkan usaha penterjermahan karya agung bawah Siri Pencerahan Selangor.

Digerakkan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sejak 2016, lebih 70 judul diterbit dalam bidang politik, agama, sejarah, sastera, sains, falsafah dan biografi.

Pada Oktober, buku IBDE yang paling laris termasuklah Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal, Gelagat dan Ragam Orang Melayu, Imam al-Ghazali: Hayat dan Jasa Ilmuwan Ulung, Strategi Rahsia China: Gerak 100 Tahun atasi Amerika Syarikat dan Tanpa Ampun: Tiga Tahun Diburu Jepun di Rimba Malaya.

Muhammad, karya terjemahan IBDE beberapa kali dicetak ulang, diterbitkan ketika ia bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Setakat Oktober, 20,000 naskhah sudah terjual.

Buku Abu Bakr as-Siddiq: Liku-liku Hayat dan Pemerintahan Khalifah Pertama turut mendapat sambutan hangat pembaca.

Melalui kerjasama dengan Media Selangor Sdn Bhd, IBDE menerbitkan 13 judul setakat ini termasuk enam judul yang mendapat sambutan pembaca pada Oktober (tanda bintang).

Apa itu Tasawuf? karya Martin Lings antara buku terlaris dalam kerjasama IBDE-Media Selangor. Ia menjelaskan penghayatan sufi daripada pengalaman beliau sendiri

Buku cetakan terbaharu Umar al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang diterjemah daripada teks Arab bertajuk ‘Abqariah Umar, tulisan cendekiawan Mesir Abbas Mahmud al-‘Aqqad. Ia juga mendapat sambutan ramai.

Kecuali Muhammad, enam judul popular ini mengisahkan sejarah tokoh Islam, perang di Tanah Melayu, perangai Melayu ketika era penjajahan dan juga pertarungan teknologi antara dua kuasa besar.

Bagi meluaskan usaha penterjemahan karya agung ulama Islam zaman silam seperti Imam al-Ghazali, IBDE bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Diterbit bawah Siri Warisan Islami, jilid pertama terjemahan Ihya’ Ulumuddin sudah berada dalam pasaran sejak Oktober. Terjemahan 19 jilid lagi, daripada 10 jilid teks Arab, dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Semua buku terbitan IBDE itu boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) antara 1 hingga 10 Disember. Gerai jualan IBDE bernombor P36 dan H17 di tingkat pertama Pusat Konvensyen MBSA Seksyen 13, Shah Alam.

IBDE antara 255 pempamer yang mengambil bahagian dalam acara berkenaan. SIBF 2023 juga berjaya menarik penyertaan pempamer dari negara luar antaranya United Kingdom, Turkiye, Macedonia Utara, Korea Selatan dan Mesir.

Dianjur PPAS sejak 2006, pesta buku Selangor menempatkan 354 reruai jualan selain menganjurkan pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah, perbincangan dan diskaun menarik untuk pengunjung.

 


Pengarang :