SHAH ALAM, 1 DIS: Menyedari nasib artis veteran kian terpinggir, pasangan selebriti Zamarul Hisyam dan Diana Rafar memperkenal inisiatif khas bagi meringankan beban golongan itu.
Dikenali sebagai Dari Poket Artis ke Poket Artis, Zamarul, 52, berkata usaha dicetuskan Diana, 41, tidak hanya menumpukan kutipan derma, sebaliknya wadah penyatuan selebriti baharu dan lama.
Jelas pelakon drama Saat Hilangnya Cintamu itu, penggiat seni veteran yang pernah mencipta nama menerusi lakonan dan nyanyian wajar disantuni serta dipertemu kembali bersama artis baharu.
“Artis sebenarnya satu keluarga. Apabila menjalani penggambaran bersama, kami dapat rasakan mereka (artis veteran) seperti emak kami sendiri. Sayang jika dibiarkan mereka menghilang begitu sahaja.
“Lebih baik wujudkan satu benda yang membolehkan kami bersua kembali dan secara tidak langsung mengembalikan kegembiraan mereka misalnya dengan berkongsi rezeki,” katanya ditemui semalam.
Turut menyertai program dakwah selebriti bersama mufti di sini, Zamarul berkata usaha tersebut akan diperluas bagi membolehkan lebih ramai artis veteran dibantu.
Sementara itu, Diana berkata inisiatif berkenaan sukar dilaksana tanpa dorongan dan sokongan rakan artis lain yang kini bergelar usahawan seperti Mila Jirin, Zizan Razak dan Syatilla Melvin.
“Kalau ikutkan debaran untuk minta (sumbangan) daripada rakan artis lain memang ada, tetapi saya bersyukur kerana dipermudahkan. Mereka sangat membantu dan mudah beri kerjasama,” katanya.
Sementara itu, penyanyi dan usahawan Mila tertarik dengan pendekatan pasangan berkenaan selain menyeru selebriti lain yang berkemampuan untuk memberi sokongan.
Pengusaha Bizmilla Catering Sdn Bhd itu turut berharap rakan artis menunaikan kewajipan berzakat supaya dapat membantu golongan memerlukan termasuk selebriti veteretan yang hidup susah.
“Saya bersyukur masih diberi kesempatan untuk berbuat demikian. Sebelum bergelar usahawan, saya terfikir kenapa Allah SWT dorong saya jadi usahawan walaupun pada ketika itu baru berusia 19 tahun dan tidak tahu apa-apa berkaitan perniagaan.
“Saya percaya ia semua bersebab. Dia (Allah) mahu saya berjuang raih keuntungan yang banyak dan mahu saya beri semula kepada komuniti. Saya seru rakan artis sekiranya anda mampu, berzakatlah dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya.
Program anjuran LZS menghimpunkan lebih 30 artis tanah air yang turut membuka ruang perkongsian berkaitan pengurusan kutipan dan agihan zakat.