SHAH ALAM, 1 DIS: Jambatan konkrit akan dibina di Kampung Sungai Samak, Rawang tahun depan bagi memudahkan laluan pekebun di kawasan itu, kata wakil rakyatnya.
Menurut Chua Wei Kiat, pembinaan kemudahan dengan anggaran kos RM100,000 bagi menggantikan jambatan kayu sepanjang 30 meter yang runtuh akibat hujan lebat pada Sabtu lalu.
“Hujan lebat pada hari kejadian mengakibatkan air sungai melimpah deras dan jambatan dibina oleh pekebun sejak lapan tahun lalu roboh. Keadaan ini menimbulkan masalah terhadap akses laluan utama pekebun.
“Saya sudah mohon kepada pejabat daerah dan tanah (PDT) untuk memasukkan peruntukan bagi pembinaan jambatan dengan struktur lebih kukuh tahun depan. Kerja akan segera dibuat sebaik permohonan lulus dan selesai proses pengukuran,” katanya kepada Selangorkini.
Beliau menambah sementara kerja naik taraf bermula, pekebun terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh bagi tujuan keluar masuk ke tanah pertanian.
Sementara itu, Wei Kiat bercadang mewujudkan kampung tradisi di kawasan terbabit yang kini didiami kira-kira 70 keluarga dengan majoriti Melayu.
“Saya lihat ada keperluan itu memandangkan kampung berkenaan sudah wujud, cuma tiada ketua kampung selain infrastruktur tidak memuaskan dan wajar dipertingkatkan. PDT Gombak sudah diminta untuk buat kertas kerja,” katanya lagi.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/jambatan-375x500.jpg.webp)