AGENDAJENAYAH

Tiga ditahan serbuan di kondominium, rampas dadah nilai RM500,000

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Polis merampas pelbagai jenis dadah serta pil khayal bernilai lebih RM500,000 dan menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di sebuah kondominium di Cheras, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata ketiga-tiga mereka yang berumur 19 hingga 33 tahun ditahan selepas polis menemukan syabu seberat 12,053.80 gram (g); pil ekstasi (3,570 biji) seberat 1,180 g; heroin base seberat 373 g; dan serbuk MDMA seberat 515 g dalam serbuan itu.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah direman tujuh hari mulai Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Polsi percaya sindiket ini aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang dan menjadikan kondominium itu sebagai sarang operasi pembungkusan semula dadah dengan sewa bulanan RM1,500 selama tiga bulan bermula Ogos lepas.

“Sindiket ini menjual dadah dengan harga pasaran sekitar RM50 bagi setiap 0.5 gram serbuk dan pil dengan menyasarkan golongan profesional dan pelajar… polis tidak menolak kemungkinan masih ada saki-baki anggota sindiket itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini hari ini.

Ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada lelaki yang ditahan itu positif dadah.

— BERNAMA


Pengarang :