Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni jemaah semasa majlis Kesyukuran Setahun Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani di Perbadanan Putrajaya pada 23 November 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tukar topi keledar, cuti-cuti cikgu antara 100 program setahun Kerajaan Madani

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Lebih 100 perkhidmatan akan ditawarkan secara langsung kepada pengunjung Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil dari 8 hingga 10 Disember ini.

Pengarah Seksyen Daya Saing Negara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wan Fazlin Nadia Wan Osman berkata antara yang menjadi tarikan pada program itu nanti tawaran pertukaran topi keledar secara percuma, pendaftaran program Cuti-Cuti Cikgu dan Jom Exchange al-Quran.

“Sebanyak 3,000 topi keledar ditawarkan untuk program pertukaran di bawah Kementerian Pengangkutan dan sesiapa sahaja pengunjung boleh datang, bawa topi keledar dan tukar baharu.

“Kementerian Pendidikan juga sebelum ini pernah menguar-uarkan mengenai Program Cuti-Cuti Cikgu, jadi pendaftaran akan dibuka pada sesi kali ini jadi semua golongan cikgu dijemput untuk hadir.

“… dan yang ketiga bagi Jom Exchange al-Quran orang ramai boleh membawa al-Quran lama yang tiada cap perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan ditukar baru dengan perakuan KDN,” katanya ketika menjadi tetamu pada program bual bicara Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM hari ini.

Beliau berkata Program Setahun Bersama Kerajaan Madani juga akan menampilkan watak dalam bidang eksekutif negara kepada masyarakat umum, untuk memberikan pendedahan dan penerangan mengenai perancangan serta pencapaian negara.

“Antaranya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, akan berkongsi tentang advokasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“… dan ada sesi bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang akan berkongsi tentang hala tuju pendidikan negara dan juga antaranya Menteri Ekonomi Rafizi Ramli akan membuat sembang santai ekonomi,” katanya.

Wan Fazlin turut menggalakkan pengunjung menggunakan pengangkutan awam untuk hadir memeriahkan program berkenaan, bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan selain perkhidmatan bas ulang-alik percuma disediakan di Endah Parade, Pavillion Bukit Jalil, MRANTI Technology Park, dan kawasan letak kereta pelawat Astro seawal 7 pagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata pengunjung tidak pulang tangan kosong dengan pelbagai perkhidmatan dan program ditawarkan.

“Saya menyeru rakyat Malaysia datang beramai-ramai, kerana anda pasti memperolehi manfaat dan membawa pulang sesuatu yang berharga dalam bentuk maklumat, peluang pekerjaan ataupun hadiah,” katanya.

Program berkenaan dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan MPC selaku urus setia bersama, selain turut melibatkan kerjasama antaranya pelbagai kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Majlis perasmian penutupan program itu bakal disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Disember dan turut dihadiri kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.

– BERNAMA


Pengarang :