Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh (tiga, kanan) ketika melawat Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga untuk memantau proses mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SPR: PRK Kemaman perintis sistem pendigitalan, keputusan lebih awal

CHUKAI, 2 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan sistem baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman sebagai ujian rintis, untuk menambah baik sistem pilihan raya di negara ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata sistem pendigitalan yang pertama kali digunakan itu, bagi memudahkan petugas SPR melaksanakan urusan berkaitan proses pilihan raya, sekali gus mempercepat keputusan pengundian diumumkan.

“Sistem baru ini kita akan beritahu kemudian kerana ini kali pertama kita meneliti semua maklumat itu dalam sistem kita dan lihat kelancaran dahulu, sebab sebelum ini pegawai pembimbing kita yang masukkan data, jadi ini kali pertama, kalau berjaya nanti insya-Allah (akan umum).

“Kita ada sistem yang baru ini, jadi insya-Allah kita akan tahu keputusan lebih awal tetapi dari segi undang-undang kena tunggu peti undi sampai ke pusat penjumlahan undi,” katanya kepada media selepas melawat proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga di sini hari ini.

Mengenai perjalanan proses pengundian hari ini, Abdul Ghani berkata trend keluar mengundi pada PRK Kemaman meningkat sekitar lapan peratus setiap jam, dengan semua saluran menunjukkan momentum sama.

Setakat 2 petang 48 peratus pengundi keluar untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing di 49 pusat mengundi di empat Dewan Undangan Negeri Kemaman.

– BERNAMA


Pengarang :