SHAH ALAM, 2 DIS: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 hari ini berlangsung meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung yang memenuhi ruang pameran di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.
Pengunjung Nur Aliah Nabihah Anwar, 22, berkata dia datang bersama dua kawan sekampusnya bagi mendapatkan buku tulisan Mustaqim Jiwa yang dikenali menerusi Instagram.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/P-PestaBuku-5-500x333.jpg.webp)
“Sebelum ini saya banyak membaca kata-kata klasik yang sering dikongsikan penulis di Instagram, tetapi kali ini saya mahu mencari dan mendalami sendiri buku beliau.
“Saya gemar kata-kata yang ditulis Mustaqim Jiwa kerana menyentuh jiwa, malah menyuntik semangat selain turut diselit kata-kata cinta,” kata penuntut semester tiga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajian Islam Universiti Selangor (Unisel).
Sementara itu, Nur Azlene Zainal Abidin, 36, berkata SIBF menyediakan pelbagai bahan rujukan dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa, sekali gus memudahkan tugasnya sebagai guru Tadika.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/P-PestaBuku-4-500x333.jpg.webp)
“Ini kali kedua saya datang ke pesta buku anjuran Kerajaan Selangor dan benda wajib saya cari lembaran kerja dan buku aktiviti untuk kegunaan anak murid saya.
“Di sini banyak pilihan boleh dibuat dan harga pula jauh lebih murah berbanding kebiasaan. Jadi amat sesuai untuk guru di luar sana cari bahan pembelajaran anak didik mereka,” katanya yang sudah 13 tahun berkhidmat sebagai guru di sebuah Tadika di Kuala Lumpur.
Bagi Nur Alisya Suhaili, 14, cuti hujung minggu dimanfaatkan dengan mengunjungi SIBF bagi bertemu penulis novel kegemarannya iaitu NSSignature yang mengeluarkan novel berjudul Fahrin Mikael: Love and Addiction.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/P-PestaBuku-3-500x333.jpg.webp)
Menurut pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Batu 14, karya itu yang mendorong minatnya membaca novel sejak akhir tahun lepas.
“Saya kenal penulis ini melalui aplikasi Wattpad dan sebaik tahu beliau ada di SIBF, saya ajak kawan-kawan datang untuk mendapatkan novel tersebut termasuk autograf penulis.
“Saya memang suka baca novel khususnya yang bergenre percintaan dan keluarga bagi mengisi masa lapang,” kata anak ketiga daripada lima beradik.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/P-PestaBuku-19-500x333.jpg.webp)
Berlangsung dari semalam hingga 10 Disember, SIBF 2023 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, jualan buku dan diskaun menarik menanti pengunjung.
SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu susulan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/P-PestaBuku-18-500x333.jpg.webp)
Tahun lalu, SIBF mendapat penyertaan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, Korea, Mesir, Indonesia, Singapura serta China.
Selain itu, acara merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung manakala nilai jualan keseluruhan diperoleh lebih RM5 juta.