Gambar hiasan bayi. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Pelajar sekolah bersalin ketika duduki peperiksaan, bayi disahkan sihat

JAWA TIMUR, 2 DIS: Pelajar di sebuah sekolah menengah di daerah Sampang bersalin ketika sedang menduduki peperiksaan pada Khamis.

Malah, guru yang mengawasi peperiksaan, Muhammad Nurchalid, mengakui tiada tanda mencurigakan sebelum peperiksaan dijalankan.

Kompas melaporkan, guru itu memaklumkan pelajar terbabit langsung tidak kelihatan panik ketika masuk ke bilik peperiksaan.

“Saya menjaga peperiksaan pada jam kedua, suasana dalam bilik ketika itu normal, tiada tanda (pelajar ingin bersalin),” kata Nurchalid ketika ditemui Jumaat.

Katanya, suasana itu juga biasa ketika dia mengagihkan ujian kepada pelajar namun selepas beberapa minit kelas yang mulanya sunyi bertukar bising, lapor Berita Harian.

Nurchalid cuba menenangkan keadaan dan meminta pelajar memberi tumpuan kepada peperiksaan sebelum terdengar suara bayi dan mendapati pelajarnya melahirkan anak.

Ketika itu, pelajar lain keluar kelas dan pelajar terbabit dilihat duduk sambil memegang bayinya.

Dia kemudian menghubungi guru perempuan untuk membantu pelajar itu.

Menurutnya kedua-duanya dibawa ke Pusat Kesihatan Komuning namun pelajar itu dirujuk ke Hospital Wilayah Dr Mohammad Zyn untuk pemeriksaan lanjut sementara bayi itu disahkan sihat dan dibawa pulang oleh keluarga pelajar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Perhubungan Awam sekolah berkenaan, Hamid mengesahkan kejadian itu.


Pengarang :