ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri bersama wakil Misha Sdn Bhd selepas menyampaikan sumbangan tabung Palestin kepada Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dan Kedutaan Palestine di Menara Misha, Pelabuhan Klang, Klang pada 2 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Orang ramai, syarikat korporat diseru terus sumbang kepada tabung Palestin

KLANG, 2 DIS: Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang menyeru orang ramai dan syarikat korporat terus memberi sumbangan sebagai tanda solidariti kepada Palestin.

Menurut Azmizam Zaman Huri, sumbangan melalui badan bukan kerajaan (NGO) yang sah membantu mengurangkan penderitaan rakyat akibat konflik yang berlaku di Semananjung Gaza.

“Di Pusat Khidmat DUN saya juga telah memulakan inisiatif di masjid dan surau kawasan Pelabuhan Klang untuk mengumpul kutipan daripada orang ramai kemudian akan disalurkan kepada pihak yang sah.

“Namun saya harap lebih syarikat yang berkemampuan di luar sana untuk tampil menunjukkan rasa simpati dan tanda solidariti kepada rakyat Palestin dengan mengadakan program seperti jualan amal,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyampaikan sumbangan syarikat jenama makanan kucing, Misha kepada tabung Palestin di Menara Misha di sini hari ini.

Syarikat itu menghulur RM20,000 kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) kendalian Kementerian Luar dan Tabung Kecemasan Gaza melalui Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).

Eksekutif Pemasaran Misha Sdb Bhd Nor Asmiza Arifin

Eksekutif Pemasaran Nor Asmiza Arifin berkata pihaknya menyerah 100 peratus keuntungan melalui kempen jualan amal yang berlangsung dari 18 November hingga 2 Disember kepada tabung Palestin.

“Melalui kempen ini kami membuat jualan secara ‘Live’ di aplikasi TikTok dan pembelian atas talian. Pembelian secara borong oleh pusat penjagaan dan perlindungan kucing membantu kami mencapai sasaran jumlah kutipan.

“Ia sebagai tanda solidariti kami terhadap nasib rakyat Palestin,” katanya.


Pengarang :