Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Perompak sembur api sebelum larikan duit, tabung derma kedai runcit

SHAH ALAM, 2 DIS: Seorang perompak menyembur api ke arah pekerja kedai runcit sebelum beberapa rakannya melarikan wang, barangan dan tabung derma dalam kejadian di Kampung Johan Setia Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari apabila pekerja terbabit didatangi empat lelaki seolah-olah mahu membeli barang, lapor Harian Metro.

“Secara tiba-tiba, salah seorang suspek mengeluarkan pemetik api dan botol penyembur nyamuk lalu membakarnya di hadapan mangsa untuk menakutkannya.

“Pada masa sama, dua suspek masuk ke dalam kawasan kaunter dan mengambil duit, dua karton rokok, tiga tabung derma serta telefon bimbit mangsa yang dianggar bernilai RM800,” kata Asisten Komisioner Cha Hoong Fong.

Tambah beliau, suspek utama berjaya ditahan pada jam 8.30 malam hari yang sama di Kampung Bunga Raya, Kuang, manakala dua lagi ditahan di Bukit Tinggi, Klang.

Menurut Hoong Fong, ketiga-tiga suspek warga tempatan berumur 23 hingga 35 tahun kini ditahan reman lima hari sehingga 5 Disember mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.


Pengarang :