AGENDAJENAYAH

Peniaga makanan cedera di perut ditikam lelaki tidak dikenali

IPOH, 3 DIS: Polis giat mengesan seorang lelaki disyaki menikam peniaga makanan di sebuah restoran di Taman Cemerlang Rapat di sini, seperti yang tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata dalam kejadian 6 pagi semalam, mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut akibat ditikam dengan pisau oleh suspek yang merupakan pelanggan lelaki tidak dikenali.

“Mangsa berusia 44 tahun menjalankan perniagaan makanan mi di restoran itu. Mangsa berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata satu laporan polis dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata pisau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu katanya, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui talian 05-254 2222.

Menerusi beberapa rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang tular dalam media sosial, suspek dilihat berbual dengan mangsa sebelum bertindak menikam perut mangsa dan melarikan diri.

– BERNAMA


Pengarang :