AGENDANASIONAL

Remaja didakwa cuba samun pemandu e-panggilan mengaku tidak bersalah

SUNGAI PETANI, 3 DIS: Remaja lelaki berusia 13 tahun yang dipercayai cuba melakukan rompakan terhadap pemandu e-panggilan Isnin lepas, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu di Mahkamah Majisret hari ini.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa cuba melakukan perbuatan rompak terhadap Lee Ang Hie, 65, di kawasan tepi jalan Taman Keladi, di sini jam 6 petang 27 November lalu.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah membenarkan remaja itu diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirul Halimi Md Salleh, sementara peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Duratul Ain Mahmud Morshidi bertindak mewakili remaja itu.

Terdahulu, remaja itu yang merupakan anak sulung daripada empat beradik hadir ke mahkamah dengan diiringi ibu bapanya.

Sebelum ini satu klip video yang memaparkan tindakan seorang remaja cuba menikam pemandu e-panggilan dipercayai sebagai cubaan samun dalam kenderaan di Taman Keladi di sini Isnin lepas, menjadi tular di laman sosial.

Pemandu berusia 65 tahun itu bagaimanapun tidak cedera kerana sempat menggigit tangan remaja berkenaan dan merampas pisaunya sebelum remaja itu melarikan diri.

Remaja itu ditahan kira-kira dua jam selepas laporan polis dibuat warga emas berkenaan jam 8 malam pada hari kejadian.

– BERNAMA


Pengarang :