Anak muda Palestin berjalan di hadapan rumah yang musnah akibat serangan Israel di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza pada 30 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Rektor Universiti Islam Gaza terbunuh, kematian meningkat lebih 15,000 orang

ISTANBUL, 3 DIS: Rektor Universiti Islam Gaza di Semenanjung Gaza Sufyan Tayeh dan keluarganya terbunuh dalam serangan udara Israel pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu.

Serangan udara itu berlaku di kawasan Al-Faluja di Jabalia, timur laut Semenanjung Gaza.

“Ahli akademik dan Presiden Universiti Islam Dr Sufian Tayeh dan keluarganya meninggal dunia hari ini akibat serangan udara tentera penceroboh di kawasan Faluja di Gaza,” menurut Menteri Pendidikan Mahmoud Abu Mouis dalam satu kenyataan.

Menurut laporan Quds News Network, Tayeh tersenarai sebagai antara penyelidik terbaik di dunia pada 2021.

Dilahirkan pada 1971 di utara Gaza, Tayeh merupakan seorang penyelidik dalam fizik dan matematik gunaan.

Kementerian Kesihatan Gaza pada Sabtu berkata angka kematian akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 15,207 orang sejak tercetusnya konflik pada 7 Oktober.

Tentera penceroboh Israel meneruskan pengeboman di Semenanjung Gaza pada awal Jumaat selepas mengisytiharkan gencatan sementara selama seminggu tamat.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :