Orang ramai mengambil kesempatan memilih buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 3 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penganjur pesta buku sedia khemah khas tampung tambahan pempamer

SHAH ALAM, 3 DIS: Sebuah khemah khas disediakan bagi menampung bilangan pempamer yang ramai pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023.

Pengarah SIBF berkata ‘marquee tent’ berada di aras bawah Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menempatkan 36 reruai membabitkan 24 syarikat penerbitan.

Pengarah Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 Zafrullah Aris

“Ini antara kelainan SIBF 2023. Kita buat reruai tambahan atas permintaan pempamer supaya lebih banyak pempamer terlibat sama dalam penganjuran kali ini.

“Selain dalam Pusat Konvensyen MBSA, orang ramai boleh mengunjungi ‘marquee tent’ untuk mendapatkan naskhah yang diinginkan,” kata Zafrullah Aris ditemui hari ini.

Antara penerbit berada di khemah berkenaan termasuk Hijanah, Iman, Ilham Books, Tafsir Tok Guru, Latip dan Keluarga ENT, Media Mewah Teguh Sdn Bhd dan Tentang Kita.

Berlangsung dari 1 hingga 10 Disember, SIBF 2023 susulan kesinambungan Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Orang ramai mengambil kesempatan memilih buku lelongan dengan harga murah sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 3 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Edisi kedua pesta bertaraf antarabangsa menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, jualan buku dan diskaun menarik menanti pengunjung.

Tahun lalu, SIBF mendapat penyertaan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, Korea, Mesir, Indonesia, Singapura serta China.

Selain itu, acara merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung manakala nilai jualan keseluruhan diperoleh lebih RM5 juta.


Pengarang :