Penduduk Palestin memeriksa masjid yang musnah dalam serangan Israel di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza pada 8 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Qatar akan teruskan usaha sambung gencatan sementara di Palestin

DOHA, 4 DIS: Qatar pada Ahad berkata pihaknya akan meneruskan usaha bersama negara lain untuk menyambung semula gencatan sementara di Semenanjung Gaza dengan matlamat mencapai gencatan senjata berkekalan.

“Qatar berusaha gigih dalam proses rundingan untuk menghentikan perang balas dendam ini,” kata Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani dalam ucapan pada mesyuarat ke-158 Majlis Persediaan Peringkat Menteri bagi sesi ke-44 Majlis Tertinggi Kerjasama Teluk (GCC) yang berlangsung di Doha, menurut Kementerian Luar Qatar.

Al-Thani mengulangi “kecaman Qatar terhadap jenayah yang dilakukan pendudukan Israel dan gesaannya supaya siasatan antarabangsa dijalankan segera secara komprehensif dan tidak berat sebelah terhadap jenayah itu terutama serangan yang menyasarkan orang awam, bantuan dan kemudahan kemanusiaan,” lapor Agensi Anadolu yang memetik kementerian itu.

Beliau berkata “mesyuarat bersidang dan sejak beberapa hari lepas anggota majlis menyaksikan dengan rasa kesal terhadap pencerobohan biadab dan jenayah kejam yang dilakukan oleh pendudukan Israel terhadap saudara Palestin di Semenanjung Gaza.”

Tentera Israel meneruskan pengeboman di Semenanjung Gaza awal Jumaat selepas mengisytiharkan penamatan gencatan sementara selama seminggu.

Sekurang-kurangnya 509 rakyat Palestin terbunuh dan 1,316 cedera sejak Jumaat lalu dalam serangan udara Israel, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Pada Ahad, Kementerian Kesihatan di kawasan Palestin yang dikepung berkata angka kematian akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 15,523 sejak bermulanya konflik pada 7 Oktober lalu.

Jumlah yang cedera dalam tempoh sama telah meningkat kepada 41,316 orang.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :