AGENDANASIONAL

MB rakam takziah buat keluarga mendiang Chua Jui Meng

SHAH ALAM, 4 DIS: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng yang meninggal dunia petang semalam.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi X berharap keluarga mendiang yang juga mantan Ahli Parlimen Bakri tabah menghadapi ujian itu.

“Beliau merupakan menteri kesihatan selama sembilan tahun yang telah banyak menabur jasa buat rakyat Malaysia,” tulisnya hari ini.

Chua, 80, meninggal dunia di Hospital Serdang jam 4.04 petang semalam.

Anak jati Muar, Johor itu menjadi antara Menteri Kabinet paling lama menerajui Kementerian Kesihatan dari 1995 hingga 2004 sebelum digugurkan daripada Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Semasa berkhidmat sebagai menteri kesihatan, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains oleh Crimea State Medical University dari Ukraine kerana sumbangannya dalam bidang kesihatan di Malaysia.

Chua mula berkecimpung dalam arena politik apabila menyertai MCA pada 1976 dan memegang beberapa jawatan tertinggi parti termasuk Ketua MCA Bahagian Bakri pada 1987 serta Timbalan Setiausaha Agung MCA (1987-1990).

Berkelulusan dalam jurusan undang-undang dari Inner Temple, England, Chua merupakan individu paling lama menyandang jawatan Naib Presiden MCA iaitu dari 1990 hingga 2004.


Pengarang :