Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) di Surau Ibnu Rabah, Taman Kapar Setia pada 6 Disember 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Meru anjur program beri sayur percuma hujung bulan ini

KLANG, 6 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru bakal menganjurkan program pemberian sayur percuma kepada penduduk setempat pada hujung bulan ini.

Wakil rakyatnya Mariam Abdul Rashid berkata orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai jenis sayuran seperti kangkung, bayam, sawi dan timun sekali gus meringankan perbelanjaan dapur mereka.

Wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Inisiatif ini antara ikhtiar pihak kami untuk membantu orang ramai di DUN Meru. Kita pun tahu isu peningkatan kos sara hidup bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi di seluruh dunia.

“Justeri, selain program Jualan Ehsan Rakyat (JER) anjuran Kerajaan Negeri, DUN Meru mengambil pendekatan memberi sayur percuma kepada penduduk.

“Mereka hanya perlu membawa plastik dan memilih sayur yang mereka mahu,” katanya ditemui di program JER di Surau Ibnu Rabah, Taman Kapar Setia di sini hari ini.

Penyelaras Jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Mohamad Nazif Zulkilfle. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

Sementara itu, Penyelaras Jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohamad Nazif Zulkilfle berkata hampir 400 ekor ayam habis terjual dalam tempoh kurang dari dua jam menerusi jualan tersebut.

“PKPS membawa 500 ayam dan 300 telur dan beras. Ketiga-tiga barangan ini terutama ayam antara yang menjadi tumpuan penduduk berikutan harga murah berbanding pasaran.

“Bukan itu sahaja, produk keluaran PKPS yang dibawa juga menandi tumpuan seperti sardin dan biskut jagung. Produk PKPS ini ramai yang menggemarinya dan yang pernah merasai pasti beli lagi,” katanya.

Marzinah Sandri. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

Dalam pada itu, bagi suri rumah Marzinah Sandri, 53, menyifatkan jualan murah Kerajaan Negeri membantu menjimatkan perbelanjaan dapur kerana harga yang amat murah berbanding pasaran luar.

“Setiap kali ada jualan murah, saya pasti akan pergi bersama jiran-jiran. Saya akan keluar rumah lebih awal kerana mahu mendapatkan nombor giliran lebih awal.

“Saya tidak kisah perlu menunggu kerana jualan ini khas untuk rakyat dan perlu memanfaatkan sebaiknya. Selain jimat belanja dapat bertemu rakan-rakan lama,” katanya.

R Raman. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

Bagi pekerja kilang R Raman, 56, pula berharap jualan membawa keperluan harian pada harga murah itu dapat diteruskan kerana meringankan beban.

“Sebagai ketua keluarga yang menyara dua anak masih bersekolah sudah pasti amat menjimatkan belanja. Jika berkelapangan, saya bersama isteri akan datang untuk beli keperluan harian.

“Saya berharap jualan ini dapat diteruskan, jika tidak kerap paling kurang dua kali dalam sebulan,” katanya.

Jualan murah kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

 


Pengarang :