Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan melakukan rodaan di sekitar rumah penduduk yang masih digenangi air ketika tinjauan Kampung Padang Licin, Rantau Panjang pada 6 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cuaca baik, jumlah mangsa bah di Kelantan berkurang setakat malam ini

KOTA BHARU, 6 DIS: Cuaca baik dan tidak hujan sepanjang hari di jajahan Pasir Mas menyaksikan jumlah mangsa banjir terus berkurang kepada 2,338 orang daripada 756 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 3,260 orang daripada 989 keluarga pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan itu.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi masa ini menempatkan 92 mangsa daripada 14 keluarga, SK Gual To’Deh (748 mangsa daripada 245 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok (153 mangsa daripada 41 keluarga).

PPS SMK Baroh Pial pula menempatkan 371 mangsa daripada 140 keluarga, SK Kedai Tanjong (48 mangsa daripada 13 keluarga) dan SK Gual Periok (252 mangsa daripada 74 keluarga).

Tiga lagi PPS iaitu Madrasah Tasek Bakong (33 mangsa daripada 10 keluarga), Masjid Mukim Padang Licin (320 mangsa daripada 119 keluarga) dan SK Sri Kiambang (321 mangsa daripada 100 keluarga).

— BERNAMA


Pengarang :