Pemain Argentina meraikan jaringan dalam perlawanan yang menyaksikan pasukan Malaysia tumpas 4-0 pada perlawanan peringkat kumpulan Hoki Piala Dunia Remaja 2023 di Stadium Hoki Nasional, Kuala Lumpur pada 6 Disember 2023. Foto BERNAMA.
AGENDASUKANKINI

Hoki Piala Dunia Remaja, Malaysia kalah 0-4 kepada Argentina

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Tuan rumah Malaysia berdepan misi wajib menang ketika menentang Australia, dalam usaha untuk menempah tiket ke suku akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2023, selepas dibenam 0-4 oleh juara bertahan, Argentina pada malam ini.

Skuad Young Tigers yang memulakan kempen dengan membelasah Chile 7-1 semalam, dilihat sukar menandingi kelincahan Argentina, selain gagal menyempurnakan keempat-empat pukulan sudut penalti pada aksi kedua Kumpulan A, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini.

Pada aksi tersebut yang tertangguh selama 15 minit akibat hujan lebat sejak tengah hari, peluang terbaik bagi skuad Muhamad Amin Rahim untuk mendahului hadir pada minit ke-18, namun percubaan Alfarico Lance Liau Jr, berjaya ditepis keluar oleh penjaga gawang Agustin Magdakena.

Bagaimanapun, pasukan nombor satu dunia Argentina, berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-20 menerusi Bautista Capurro, yang menyudahkan percubaan sudut sukar dari bahagian kiri.

Argentina kemudian berjaya menggunakan kelebihan beraksi menentang 10 pemain selepas Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini, yang dilayangkan kad hijau (keluar padang dua minit), untuk mengandakan jaringan menerusi Marco Aguirregomezcorta minit ke-28.

Serangan bertali-arus skuad negara pada suku ketiga gagal membuahkan hasil, namun Argentina yang menerima pukulan sudut pertamanya, berjaya menyempurnakan peluang itu menerusi kapten Inaki Minadeo pada minit ke-44.

Bersambung suku keempat, Juan Fernandez menjaringkan gol padang pada minit ke-48 untuk melengkapkan kemenangan 4-0 pasukan itu, dalam misi mereka mempertahankan kejuaraan.

Ini merupakan kekalahan kelima skuad Young Tigers kepada Argentina dalam lapan pertemuan, dengan seri sekali dan menang dua kali.

Terdahulu, Australia yang tewas tipis 0-1 kepada Argentina semalam, membenam Chile 7-1 pada satu lagi aksi kumpulan sama.

Argentina di bawah kendalian Juan Gilardi, hampir pasti mara ke suku akhir apabila menduduki tempat teratas dengan enam mata, diikuti Australia mengikut kelebihan jaringan walaupun berkongsi tiga mata dengan Malaysia, manakala Chile menduduki tangga tercorot tanpa sebarang mata.

— LAGI


Pengarang :