Suasana pengunjung di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 5 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Urus setia SIBF kerjasama dengan KDN semak kandungan dipamerkan

SHAH ALAM, 7 DIS: Urus setia Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memantau dan menyemak kandungan yang dipamerkan dalam pesta buku berkenaan.

Pengarah SIBF 2023 Zafrullah Aris berkata pihaknya juga mengambil pelbagai langkah mengekang penyebaran bahan bacaan yang tidak sesuai kepada pengunjung.

“Urus setia SIBF sentiasa bekerjasama dengan KDN memantau kandungan yang dipamerkan dari semasa ke semasa.

“Taklimat dan peringatan kepada semua terlibat di SIBF2023 sentiasa dilaksanakan sama ada sebelum mahupun semasa pesta berlangsung,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Zafrullah penyediaan dan pemilihan bacaan yang berkualiti adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan agenda Dekad Membaca Kebangsaan dapat dicapai.

“Penerbit, penulis, pengkarya, ilustrator dan semua yang terlibat dalam industri perbukuan berperanan menghasilkan dan bahan bacaan yang baik,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial yang mengatakan novel lucah dijual secara terbuka dalam pameran yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu susulan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Sejak dianjurkan pada 2006, pesta buku itu bermula di Kompleks PKNS dan kemudian bertukar ke Pusat Konvensyen MBSA yang merekod hampir lima juta pengunjung.


Pengarang :