Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengarah Eksekutif Dewan Perdagangan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) Daniel Bernbeck (kanan) sempena ulang tahun ke-10 keahlian Invest Selangor bersama MGCC. Turut hadir EXCO Pelaburan Ng Sze Han. Foto laman X Invest Selangor —
AGENDANASIONAL

Pacu pertumbuhan ekonomi, Selangor perkukuh kerjasama perdagangan dengan Jerman

SHAH ALAM, 7 DIS: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) meneruskan kerjasama dengan Dewan Perdagangan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) bagi membuka lebih banyak peluang pelaburan dari negara itu ke negeri ini.

Menurut agensi penggalak pelaburan negeri, kerjasama dengan MGCC sepanjang sedekad membantu memacu pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan selain memperkukuh hubungan antara Selangor dan Jerman.

“Memandang ke depan, kami teruja untuk meneruskan kerjasama dengan MGCC bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan dari Jerman ke Selangor,” tulisnya di laman X hari ini.

Semalam, Invest Selangor meraikan ulang tahun ke-10 keahlian bersama MGCC di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini.

Turut hadir EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris manakala MGCC diwakili Pengarah Eksekutifnya Daniel Bernbeck.

Sepanjang kunjungan hormat Daniel ke atas Sze Han, pelbagai pandangan dikongsi berkait landskap pelaburan matang di Selangor selain komuniti perniagaan Jerman yang berkembang maju di negeri ini.

Ditubuh pada 1991, MGCC merupakan wakil rasmi Jerman untuk industri dan perdagangan di Malaysia.

Sebahagian besar perusahaan Jerman beroperasi di negara ini termasuk dalam industri makanan dan minuman, perkhidmatan, perhotelan, perubatan, pertanian, pembuatan dan automotif.


Pengarang :