Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menahan 67 pendatang tanpa izin dari Indonesia dalam operasi di sebuah penempatan haram di Nilai Spring pada 1 Februari 2023. Foto Facebook Jabatan Imigresen Malaysia
AGENDANASIONAL

Imigresen usir lebih 35,000 pendatang haram setakat November

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Jabatan Imigresen mengusir seramai 35,802 pendatang tanpa izin sejak Januari hingga November lepas, kata Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh.

Beliau berkata bagi tempoh sama, pihaknya turut menahan 58,774 pendatang asing dan 289 majikan hasil 103,124 pemeriksaan menerusi 9,164 operasi dijalankan di seluruh negara.

“Fokus utama Jabatan Imigresen ialah memastikan tiada majikan yang menggajikan pendatang asing selari dengan pengusiran dijalankan.

“… menjadi satu kesalahan mana-mana majikan yang menggajikan pendatang asing bagi berurusan atau berniaga atau menggajikan mereka yang mempunyai pas lawatan kerja sementara di tempat lain,” katanya pada sidang media selepas operasi khas di Kompleks Kota Raya di sini hari ini.

Terdahulu, dalam operasi khas berkenaan, Ruslin berkata pihaknya menahan 330 pendatang asing pelbagai warganegara hasil pemeriksaan terhadap 350 individu.

Beliau berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 215 wanita dan 115 lelaki termasuk kanak-kanak warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Pakistan, Filipina dan China.

“Kesemua yang berusia lingkungan tujuh bulan hingga 70 tahun dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :