BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Raja Ali Haji karang susur galur Kesultanan Selangor

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Raja Ali Haji Raja Ahmad tokoh persuratan nusantara yang menghasilkan salasilah Raja Melayu dan banyak menukil karya penting meliputi bidang agama, sastera, sejarah dan ketatanegaraan.

Terkenal sebagai pengarang Tuhfat al-Nafis, beliau juga menulis karya lain Silsilah Melayu dan Bugis Sekalian Raja-rajanya, Bustanul-Katibin Lis Sibyanil Mutaalamin, Kitab Pengetahuan Bahasa, Syair Jatuhnya Negeri Johor dan Syair Gurindam Dua Belas.

Selain itu, Syair Taman Pertama, Syair Syair Siti Sianah, Syair Hukum Nikah, Syair Abdul Muluk, Thamarat al-Muhimmah Diyafah lil Umara’ wal Kubara’ li Ahlil Mahkamah dan Mukaddimah fi Intizam al-Wazaif al-Malik.

Tuhfat al-Nafis membincangkan sejarah kesultanan Melayu dan susur galur keturunan serta akhlak raja-raja Bugis. Karya itu juga memuatkan peristiwa jatuh bangun sesebuah pemerintahan.

Naskhah tersebut juga memberi tumpuan antara lain pemahaman hukum dan nilai ajaran Islam, pendidikan, adat dan tradisi serta kepentingan nilai moral dalam kehidupan.

Lahir pada 1809, Raja Ali Haji dibesarkan dalam keluarga yang mencintai pengetahuan seiring perkembangan kepulauan Riau yang menjadi tumpuan ilmuan termasuk ulama. Lebih-lebih lagi, Pulau Penyengat, tempat kelahiran tokoh itu, menjadi pusat pemerintahan dan kebudayaan kelompok Melayu-Islam sekitar abad ke-19.

Beliau adalah anak Raja Ahmad bin Raja Haji Fi Sabilillah bin Opu Daeng Cellak. Bapanya seorang penulis, negarawan dan penasihat kepada Yang Dipertuan Muda Riau keenam Raja Jaafar Raja Haji.

Opu Daeng Cellak pula adinda keempat pahlawan Bugis Lima Bersaudara iaitu Opu Daeng Parani, Opu Daeng Menambun, Opu Daeng Marewa, dan Opu Daeng Kemasi. Memerintah Riau pada 1728 hingga 1745, Opu Daeng Cellak adalah ayahanda Raja Lumu, sultan Selangor pertama dengan gelaran Sultan Salehuddin Shah.

Bapa Raja Ali Haji juga ada menulis Syair Engku Putri, Syair Perang Johor dan Syair Raksi Macam Baru. Ibunya Che Hamidah binti Panglima Malik daripada kalangan bangsawan Selangor.

Bergaul dengan ulama

Raji Ali Haji bergaul dengan ramai ulama sama ada yang mengajar atau belajar dalam lingkungan istana Kesultanan Riau-Lingga. Ketika itu, pendidikan agama berpusat di istana dan masjid dengan tumpuan kepada pengajian al-Quran, fikah, usuluddin dan tasawuf.

Beliau juga menuntut ilmu agama dan bahasa Arab dengan beberapa ulama besar di Makkah pada 1828M. Seorang daripadanya Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.

Raji Ali Haji turut menyandang jawatan penting dalam kerajaan Riau-Johor antaranya penasihat, guru agama, guru bahasa Melayu dan Arab kepada empat Yang Dipertuan Muda Kesultanan Riau-Lingga.

Tuhfat al-Nafis yang ditulis pada 1865 ada enam versi. Versi pertama hadiah kepada Residen Riau A L Hasselt, versi kedua dimiliki W E Maxwell, Residen Selangor manakala Tengku Fatimah anakanda Sultan Abu Bakar menyimpan versi ketiga. Versi keempat milik Raja Aziz Raja Kasim, Dr A Ringkes, Ketua Balai Pustaka mempunyai versi kelima. Versi terakhir dijumpai YM Tengku Ismail Tengku Su di Terengganu.

Terbaharu, Tuhfat al-Nafis: Jejak Susur Galur Keturunan Melayu dan Bugis serta Raja-rajanya diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Universiti Teknologi Mara dan Universitas Negeri Makassar.

Terbitan tersebut berdasarkan salinan Kitab Silsilah Melayu dan Bugis Sekalian Raja-rajanya yang tersimpan di Muzium Indonesia. Kerja transliterasi dari tulisan jawi ke rumi dijalankan Guru Besar Sejarah Kebudayaan dan Kepariwisataan Fakultas Ilmu Sosial dan Hukum Universitas Negeri Makasar Andi Ima Kesuma dan Peneliti di Pusat Riset Masyarakat dan Budaya di Badan Riset dan Inovasi Nasional Taufik Ahmad.

Pelancaran buku tersebut disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Wakil Presiden Indonesia ke-10 dan ke-12 Drs Muhammad Jusuf Kalla.

Budaya musyawarah

Dalam forum sempena pelancaran naskhah berkenaan, Amirudin ada membangkitkan tradisi musyawarah yang mengakar dalam masyarakat Bugis sejak abad ke-13 atau 14.

Beliau menyifatkan amalan tersebut mendahului masyarakat Eropah yang hanya menemui idea perbahasan parlimen pada abad ke-17. Tradisi itu adalah kaedah perbincangan antara rakyat dan pemerintah untuk mengatasi masalah termasuk urusan harian musim menuai.

“Jadi watak-watak dan budaya musyawarah ini, contohnya, digambarkan peradaban kita jauh lebih besar, bermutu untuk membentuk dan menggambarkan kekuatan itu.

“Dengan menerbitkan karya seperti Tuhfat al-Nafis atau karya-karya lain atau perbicaraan seperti ini yang menggambarkan kepada bidang pendidikan kita, ini sangat penting untuk generasi masa depan.

“Supaya kita bangga dengan apa asas kita. Bangsa yang besar adalah bangsa yang tahu sejarahnya,” katanya di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia di Jakarta pada 27 September.

Jusuf Kalla pula menganggap karya itu memberi petunjuk tentang nilai moral yang harus menjadi pegangan hidup setiap generasi supaya nilai kemanusiaan berupaya mencipta kedamaian dalam hidup bermasyarakat.

“Membaca untaian kata demi kata dari tulisan Raja Ali Haji ini seperti mengajak memasuki ruang sejarah betapa luar biasa dari suku Bugis dalam pembangunan genealogi (susur galur) khususnya di Malaysia,” katanya sebagai pembuka kata naskhah itu.

Pengarah urusan ITBM pula menyifatkan penerbitan melibatkan tiga institusi antara negara itu selaras hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempergiat penerbitan karya agung.

Sakri Abdullah percaya penerbitan itu turut mengukuh dan melestarikan lagi hubungan kebudayaan Melayu-Bugis yang ditekankan Raja Ali Haji lewat karya beliau sekali gus mengeratkan hubungan serumpun.

“Penulisan Raja Ali Haji mencerminkan kekayaan budaya dan warisan intelektual daripada kelompok Bugis dan Melayu,” katanya dipetik dalam pembukaan naskhah berkenaan.


Pengarang :