Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menerima replika cek sumbangan Premier Integrated Labs ketika majlis pelancaran Wakaf Rumah Kanwork di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 16 Julai 2023.Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tengku Permaisuri titik berat pendidikan, hargai tradisi pelbagai kaum

Oleh NAZLI IBRAHIM

DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin memandang serius kepentingan bidang pendidikan lantaran ilmu asas pembentukan tamadun besar.

Keprihatinan itu terserlah ketika Baginda selaku Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak 18 Oktober 2021.

Bertitah dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-98 di Shah Alam pada 18 November, Baginda mengingatkan pengurusan universiti supaya mempertingkat aspek penyelidikan bagi memajukan lagi pengetahuan, dorongan inovasi seterusnya berupaya menangani cabaran semasa.

“Budaya menimba ilmu perlu dirancakkan kerana Malaysia memerlukan problem solver (penyelesaian masalah) dalam membantu negara menghadapi cabaran yang semakin kompleks,” titah Baginda.

Menurut Facebook Selangor Royal Office, Baginda turut menitik berat soal pembangunan bakat, pembentukan sahsiah dalam kalangan lepasan universiti supaya bersedia berdepan dunia sebenar.

“Baginda mahu sistem pendidikan negara mempunyai keupayaan menghasilkan modal insan berkualiti serta berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri,” kata kenyataan itu.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkenan menyampaikan ijazah kepad graduan pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-98 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam pada 22 November 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office.

Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga memberi perhatian terhadap usaha badan bukan kerajaan (NGO) termasuk KanWork yang menyediakan sokongan emosi dan rohani kepada pesakit hospital.

Baginda berkenan menyempurnakan perasmian projek wakaf Rumah KanWork di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahudddin Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia pada 16 Julai.

Sebagai Penaung Diraja KanWork, Baginda melancarkan Majlis KanWork Charity Hi-Tea 2023 yang turut dihadiri Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad.

Bantu Pesakit

KanWork giat memberi sokongan maklumat, emosi dan rohani kepada pesakit melalui kumpulan sokongan, lawatan ke hospital dan rumah selain menyediakan talian bantuan 1-800-228672.

Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menghargai budaya tradisi kaum lain. Baginda berkenan menyaksikan persembahan Ngajat Lesung, tarian warisan yang menyaksikan penarinya mengangkat lesung menggunakan gigi.

Ketika melawat Kampung Budaya Sarawak pada 8 November, Baginda juga mencuba tarian Iban, sumpit dan menyaksikan kerja membuat Pua Kumbu, sejenis kain kapas tenunan bercorak pelbagai warna. Baginda turut mengunjungi Rumah Bidayuh, Rumah Orang Ulu, Rumah Melanau dan Rumah Cina.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan melawat gerai pameran sempena kempen Potong Royong program pemandulan anjing dan kucing Majlis Perbandaran Klang di Dewan Ambang Botanik 2, Klang pada 23 Ogos 2023. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Selain itu, Tengku Permaisuri Selangor penyayang terhadap haiwan peliharaan terutama kucing. Justeru, Baginda senantiasa memastikan kebajikan haiwan terpelihara.

Januari lalu, Baginda menzahirkan rasa dukacita ekoran tular gambar dan video anjing terbiar dalam keadaan tidak terurus di pusat kurungan anjing menerusi media sosial.

Justeru, pihak berkuasa tempatan dititah memperbaiki tatacara pengurusan berkaitan haiwan terbiar supaya pendekatan lebih holistik diamal dalam menguruskan pusat kurungan tersebut.

“Tidak sepatutnya tular video yang menunjukkan anjing tersebut seolah-olah teraniaya, terabai dan tidak terurus,” titah Baginda yang juga Penaung Diraja kempen ‘Stray Free Selangor’ kendalian Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan.


Pengarang :