Pegawai Operasi Balai Bomba Keramat PBT II, Hazal Kassim menunjukkan keratan akhbar yang memaparkan berita tragedi runtuhan Highland Towers ketika ditemu bual Media Selangor di Balai Bomba Keramat pada 8 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pegawai bomba imbau peristiwa nyaris ditimpa tembok runtuhan Highland Towers

SHAH ALAM, 11 DIS: Tragedi Highland Towers di Ulu Klang masih segar dalam ingatan Pegawai Bomba Tinggi (PBT) II, Hazal Kassim apabila beliau nyaris ditimpa tembok besar ketika melakukan pencarian punca runtuhan.

Mengimbau peristiwa itu, Hazal, 58, yang baru tujuh tahun berkhidmat ketika itu bersyukur masih dipanjangkan usia memandangkan peristiwa yang hampir meragut nyawanya berlaku di bawah runtuhan kondominium tersebut.

Katanya, beliau diarahkan pegawai atasan untuk turun berseorangan ke dalam runtuhan bagi mencari punca tragedi tanpa peralatan khusus dengan menolak ketepi segala risiko demi melunaskan tanggungjawab kepada negara.

Selepas mengharungi pelbagai halangan, bapa dua anak itu akhirnya berjaya menemui takungan air bersaiz hampir separuh gelanggang futsal di bahagian tempat letak kereta kondominium malang berkenaan.

“Semasa diarahkan itu, ada juga wujud rasa gementar kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Namun saya perlu juga laksanakan tanggungjawab ini demi keadilan kepada mangsa.

Pegawai Operasi Balai Bomba Keramat PBT II, Hazal Kassim ketika ditemu bual Media Selangor di Balai Bomba Keramat pada 8 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya masuk ke dalam celahan runtuhan tanpa sebarang peralatan. Selepas jumpa takungan air besar, saya berdepan detik cemas apabila ada satu tembok besar jatuh di belakang saya.

“Jika ia jatuh ke atas saya, tiada siapa tahu nasib saya. Saya benar-benar bersyukur kerana masih dipanjangkan umur,” katanya ketika ditemui Selangorkini baru-baru ini.

Menurut Hazal, walaupun sudah 30 tahun berlalu, tarikh keramat 11 Disember 1993 sentiasa dikenang lantaran ia menjadi tugas menyelamat pertama yang disertainya ketika bertugas di Balai Bomba Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur.

Kira-kira jam 1 petang pada tarikh itu, pasukannya menerima panggilan kecemasan dengan maklumat awal ‘runtuhan bangunan’. Hazal yang ditugaskan dalam pasukan khas segera dikerah ke lokasi kejadian.

Sangkaannya, ia hanya sekadar runtuhan biasa tapak pembinaan. Telahannya meleset. Hazal bersama rakan sepasukan tergamam melihat tragedi dahsyat di hadapan mata.

“Kami semua terkejut dan tidak tahu mahu lakukan apa. Kelengkapan ketika itu pun belum cukup seperti sekarang. Jadi, apa yang kami lakukan pada hari pertama hanya cuba mencari mangsa yang selamat.

“Kami mengalihkan batu-batu dan berusaha lakukan pencarian. Pasukan keselamatan lain pun tidak tahu mahu lakukan apa. Masing-masing seperti tergamam,” katanya.

Tinggalan dua blok Highland Towers yang terletak di Ulu Kelang. Foto BERNAMA

Menurut Hazal, ketibaan anggota penyelamat dari luar negara seperti Jepun, Perancis dan Singapura bersama peralatan dan anjing pengesan pada hari kedua serta ketiga tragedi juga tidak mampu merubah apa-apa.

Ketika hampir berputus asa untuk menemui mangsa yang masih hidup, mereka dikejutkan dengan penemuan tiga individu bernyawa termasuk seorang bayi perempuan berusia 14 bulan.

“Kami amat terkejut kerana ada seorang bayi yang masih hidup dalam tragedi sebesar itu. Penemuannya menyuntik semangat seluruh pasukan untuk meneruskan usaha pencarian meski sukar,” katanya.

Hazal berkata, selama seminggu semua anggota penyelamat bertungkus lumus melakukan pencarian sebelum akhirnya mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan penggunaan jentera berat di lokasi kejadian.

Ketika itu, katanya, satu demi satu mayat berjaya ditemui. Kebanyakannya berada berhampiran tangga kondominium, berikutan mangsa cuba menyelamatkan diri selepas mendengar pergerakan tanah.

Hazal yang kini bertugas sebagai Pegawai Operasi di Balai Bomba dan Penyelamat Keramat percaya, insiden itu tidak akan terjadi jika pemaju tidak menganggu ekosistem semula jadi kawasan berkenaan.

“Elakkan pembinaan bangunan di lereng bukit kerana tanah di lokasi ini biasanya amat sensitif. Saya harap peristiwa itu menjadi pengajaran kepada semua, khususnya pihak berkuasa dan pemaju,” katanya mengakhiri bicara.


Pengarang :