Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan sembah taat setia sempena Hari Keputeraan ke-78 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri pertahan kesucian Islam, jamin kesejahteraan rakyat berbilang agama

KLANG, 11 DIS: Kerajaan Negeri bertekad memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri selain hak keistimewaan orang Melayu dan kesucian Islam.

Dato’ Menteri Besar berkata pentadbiran negeri juga berusaha demi kesejahteraan semua rakyat berbilang bangsa dan agama sekali gus memelihara perpaduan yang terbina sebagai kerukunan rakyat.

“Selangor telah melalui proses demokrasi menerusi pilihan raya negeri pada Ogos lalu. Alhamdulillah ia berlangsung dengan aman, tenteram dan stabil.

“Rakyat telah melaksanakan tanggungjawab dan memilih Kerajaan Perpaduan untuk terus mentadbir negeri. Gabungan berbilang kaum dan agama ini membuktikan bahawa rakyat ingin melihat perancangan dan gagasan yang telah dibentang terus dilaksana demi kemakmuran negeri.

“Patik mewakili Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Selangor menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan institusi Raja Melayu. Kerajaan Perpaduan bertekad terus memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang Undang Tubuh Negeri serta hak keistimewaan orang Melayu dan kesucian agama Islam,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sembah taat setia sempena Hari Keputeraan ke-78 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Amirudin juga menzahirkan tekad memperkukuh dan melindungi syiar Islam di Selangor dengan julung kalinya menganjurkan Festival Turath Islami pada Mei lalu.

“Kerajaan Negeri yakin mampu meneruskan kegemilangan Selangor untuk mengangkat harakat umat Melayu dan martabat serta karamah insan seluruh rakyat negeri ini.

“Berteraskan ilmu pengetahuan, Melayu akan tampan berkeyakinan, mampan bersaing dengan bangsa lain serta menzahirkan akhlak terpuji sesuai dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW,” katanya.

Tambah Dato’ Menteri Besar, sebagai usaha menjaga kebajikan jemaah haji, Kerajaan Negeri akan mengukuhkan Insentif Haji Selangor dari pemberian wang saku yang dilaksanakan tahun ini kepada subsidi haji tahun depan dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad ketika hadir Hari Keputeraan ke-78 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :